Pembahagian Faraid bagi rumah dibeli di atas dua nama suami isteri

Situasi 1:

En. Ahmad & Isteri membeli sebuah rumah sebagai aset bersama dan didaftarkan atas 2 nama (En.Ahmad & Isteri).

Tanpa diduga En. Ahmad terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia, adik beradik En. Ahmad menuntut hak pewarisan daripada rumah tersebut kerana mereka merupakan waris faraid disebabkan En. Ahmad dan isteri tidak mempunyai anak lelaki.

Tetapi Isteri En. Ahmad menuntut bahagian suaminya sebagai harta sepencarian dan tidak mahu melepaskan rumah yang dibeli bersama arwah suaminya.

ADAKAH RUMAH YANG DIBELI ATAS DUA NAMA BOLEH DITUNTUT OLEH ADIK BERADIK ATAU WARIS SUAMI?

Anggapan mengenai pembelian rumah 2 nama (suami & isteri) dikira sebagai Harta Sepencarian adalah SALAH sama sekali!

Aset yang didaftarkan atas 2 orang pemilik bermaksud setiap satu pihak mempunyai 50% sahaja pemilikan daripada aset tersebut.

Harta hanya boleh dikira sebagai Harta Sepencarian melalui pengisytiharan waktu hidup @ tuntutan di Mahkamah Syariah sahaja, bukan automatik milik pasangan.Permasalahan yang kerap berlaku :

1. Pasangan boleh hilang tempat berlindung apabila berlaku kematian salah satu pihak dan bahagian 50% perlu diagih mengikut hukum Faraid.

2. Harta masih dalam pinjaman, berlaku kesukaran pindahmilik harta apabila takaful/insurans hanya melindungi 50% bahagian si mati sahaja, dan harta hanya boleh dipindahmilik setelah harta 100% bebas tangunggan hutang.

3. Lebih memilukan apabila pinjaman dilakukan oleh satu pihak sahaja, dan kematian berlaku ke atas pihak yang bukan peminjam. Takaful/insurans tidak melindungi bahagian tersebut dan pindahmilik tidak akan boleh dilakukan sehingga hutang dilangsaikan.

APAKAH CARA PENYELESAIAN?

Pasangan suami/isteri boleh membuat perancangan melalui Perjanjian Aset Perolehan Bersama (PAPB) atau Hibah untuk memastikan pasangan layak memiliki 100% aset yang dimiliki sekiranya berlaku kematian salah seorang pasangan

Situasi 2:

Assalamualaikum, bolehkah saya dapatkan penjelasan, sekiranya rumah yang dibeli atas dua (2) nama (Suami & Isteri) serta loan di atas nama 2 nama juga (suami dan Isteri) tetapi MRTT hanya ‘cover’ bahagian suami sahaja

APABILA ISTERI MENINGGAL DUNIA (TIADA MRTT) DAN SUAMI SAMBUNG BAYAR HUTANG BAHAGIAN ISTERI, BAGAIMANA BAHAGIAN FARAID SI ISTERI DIURUSKAN?

Untuk pastikan pindah milik bahagian arwah isteri boleh dilaksanakan kepada waris faraid atau mana- mana individu , rumah tersebut mestilah bebas hutang.

Oleh itu keseluruhan pinjaman di atas nama suami dan arwah si isteri perlulah diselesaikan agar pindah milik boleh dilaksanakan

APAKAH CARA PENYELESAIAN?

Pilihan 1: Buat bayaran penuh bagi baki hutang yang mana suami perlu membayar hutang bahagian beliau dan bahagian hutang arwah si isteri dijelaskan melalui pusaka arwah si isteri. Dalam situasi ini, bahagian arwah si isteri masih tertakluk kepada hukum faraid.

Pilihan 2: Wasi atau Pentadbir yang dilantik bagi menguruskan harta pusaka si isteri boleh meminta nasihat daripada pihak bank tentang kaedah terbaik menguruskan pinjaman ini serta pindah milik dilaksanakan tanpa buat full settlement. Ia bergantung kepada persetujuan bank.

Pilihan 3: Pilihan terakhir, dengan persetujuan suami sebagai (co- owner) serta persetujuan semua waris Faraid rumah tersebut dijual. Hasil jualannya bagi bahagian arwah si isteri akan dibahagikan mengikut hukum Faraid.

Jika suami mempunyai wang tunai yang mencukupi, suami boleh membeli bahagian arwah si isteri daripada pusaka beliau dan selesaikan hutang arwah si isteri serta pindah milik kepada suami dilaksanakan.

KESIMPULAN

Tugas wasi bukanlah sekadar menyelesaikan hutang serta melaksanakan pindah milik kepada pihak yang berhak. Tetapi juga perlu memikirkan dan nencadangkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan hutang si mati agar hak waris terpelihara