Hak Faraid Pasangan yang Bercerai

Adakah Isteri yang Telah Diceraikan Mendapat Bahagian Faraid Bekas Suaminya?

Isteri yang diceraikan dengan talak Rajie (talak 1 atau talak 2) oleh suami berhak mewarisi harta peninggalan bekas suaminya sekiranya bekas suami tersebut meninggal dunia semasa tempoh eddah atau tempoh eddah belum tamat.

Begitu juga si suami berhak mewarisi harta pusaka bekas isterinya yang diceraikan dengan jenis yang sama dan dalam tempoh yang sama.

Manakala bagi talak ba’in (Talak 3), sekiranya bekas suami meninggal dunia dalam tempoh eddah maka isteri tidak berhak mewarisi harta peninggalan suami tersebut. (Irsyad Al-fatwa Siri Ke-504)

Berapakah Bahagian Faraid Harta Pusaka Bekas Pasangan yang Meninggal Dunia?

Isteri yang telah diceraikan dan apabila bekas suaminya tersebut meninggal dunia di dalam tempoh eddah maka bekas isteri tersebut berhak mewarisi bahagian Faraid yang ditetapkan untuk isteri iaitu :

  • Sebanyak 1/8 daripada harta pusaka suami, sekiranya suami tersebut mempunyai anak; atau
  • Sebanyak 1/4 daripada harta Pusaka Suami, sekiranya suami tersebut tidak mempunyai anak

Sekiranya suami tersebut berpoligami dan mempunyai isteri lebih daripada seorang, maka bahagian yang ditetapkan untuk isteri seperti di atas akan diagihkan secara sama rata diantara isteri-isteri yang di tinggalkan Iaitu

  • 1/16 (jika mempunyai 2 isteri),
  • 1/24 (jika 3 mempunyai isteri) atau
  • 1/32 (jika 4 mempunyai isteri)

Manakala bahagian yang diwarisi oleh suami sekiranya isteri yang diceraikan tersebut meninggal dunia dalam tempoh eddah adalah seperti berikut:

  • Sebanyak 1/4 daripada harta pusaka isteri sekiranya isteri tersebut mempunyai anak; atau
  • Sebanyak 1/2 daripada harta pusaka isteri sekiranya isteri tersebut tidak mempunyai anak

Bagaimana Cara Menuntut Harta Sepencarian?

Anda bolehlah membuat permohonan tuntutan Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah bagi harta-harta yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan. Melalui tuntutan ini mahkamah akan mendapat bahagian ke atas Harta Sepencarian yang ditentukan oleh Mahkamah Syariah serta bahagian ke atas hak faraid mereka.

Selain daripada tuntutan di Mahkamah Syariah, anda boleh membuat Deklarasi Harta Sepencarian semasa masih berkahwin melalui Perjanjian Aset Perolehan Bersama (PAPB).

Melalui perjanjian ini pihak suami dan isteri membuat keputusan dan bersetuju dengan pembahagian masing-masing mengelakkan Isu Rumah atas 2 Nama dan sebagainya.

Tambahan pula, dapat mempercepatkan proses pembahagian tanpa membuat tuntutan ke mahkamah.

Bagaimana Penceraian Memberikan Kesan Kepada Pembahagian Harta Pusaka?

Suami dan isteri yang bercerai telah terputus hubungannya tiada hak diantara satu sama lain kecuali hak isteri didalam tempoh eddah iaitu nafkah eddah.

Namun sekiranya suami atau isteri tersebut meninggal dunia dan tempoh eddah masih belum tamat maka setiap daripada mereka itu mempunyai hak mewarisi seperti yang dinyatakan di bawah

Statistik Kes Penceraian di Malaysia

Sepanjang tahun 2021, sebanyak 45,420 kes penceraian membabitkan pasangan beragama Islam telah didaftarkan di seluruh negara.

Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 8,811 kes, diikuti Johor 5,058 kes, Perak 4,215 kes dan Kelantan 4,093 kes.

Kedah merekodkan 3,873 kes penceraian, Pahang (3,409), Terengganu (3,358), Sabah (3,027), Wilayah Persekutuan (2,785), Negeri Sembilan (2,477), Pulau Pinang (1,932), Melaka (1,597) dan Perlis (785).

Situasi penceraian merupakan sesuatu kes yang sukar dijangka bagi pasangan baru dan pelbagai jenis faktor punca penceraian akan berlaku seperti tiada persefahaman antara pasangan, faktor kewangan, gagal menunaikan tanggungjawab memberi nafkah, pasangan curang dan campur tangan keluarga

Sumber : Berita Harian, 2022